Warga Aceh Rayu Perhatian Antarabangsa, Dakwa Tertekan Akibat Dasar Kerajaan Indonesia
ABDYA, ACEH, Warga Aceh bersama mahasiswa di Kabupaten Aceh Barat Daya (Abdiya) semalam mengadakan satu aksi dan petisi sebagai tanda protes terhadap dasar kerajaan Indonesia yang didakwa terus membebankan rakyat, khususnya dalam isu bencana banjir yang berulang setiap kali hujan lebat.
Menurut wakil masyarakat Aceh, mereka kini berada dalam keadaan yang semakin lemah dan tertekan akibat polisi kerajaan yang didakwa gagal menyelesaikan masalah asas rakyat, sehingga menyebabkan ramai mangsa terus tertimpa musibah tanpa pembelaan sewajarnya.
Beliau turut merayu agar pihak media, khususnya dari Malaysia, dapat membantu memperluaskan maklumat berkaitan tuntutan dan suara rakyat Aceh kepada masyarakat antarabangsa, sebagai usaha mendesak tindakan segera daripada kerajaan Indonesia.
Dalam pada itu, warga Aceh melahirkan rasa kecewa terhadap laporan media tempatan Indonesia yang didakwa tidak tepat, apabila hanya melaporkan ratusan peserta menyertai aksi tersebut. Hakikatnya, kira-kira seribu orang hadir dalam perhimpunan itu, namun sebahagian besar massa telah dialihkan ke masjid oleh pihak berkuasa daerah untuk menyertai doa bersama sempena peringatan tragedi tsunami 2004.
Penganjur juga mengakui jumlah kehadiran tidak mencapai sasaran awal seramai 10,000 orang, namun menegaskan bahawa kehadiran ribuan peserta sudah cukup membuktikan kesungguhan dan penderitaan rakyat Aceh yang menuntut pembelaan.
Warga Aceh berharap suara mereka tidak terus dipinggirkan dan agar tindakan konkrit dapat diambil demi menyelamatkan rakyat yang berulang kali menjadi mangsa bencana dan kegagalan tadbir urus.




